14 Aug 2025
AMIR Hamzah berucap pada Forum Hasanah 2025 bertemakan 'Philanthropy That Listens, Bridging Intent With Interventions' di Kuala Lumpur. FOTO BERNAMA
KUALA LUMPUR - Pertumbuhan ekonomi dan ruang fiskal tidak lagi menjadi satu-satunya elemen pengukur transformasi sosioekonomi negara, tetapi turut merangkumkan kemampuan memastikan taraf hidup bermaruah untuk semua rakyat, menurut Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Beliau kata, kerajaan komited membina negara yang adil, saksama dan berdaya tahan melalui kerangka Ekonomi MADANI yang menekankan maruah, keadilan serta kemakmuran bersama.
Katanya, ekonomi MADANI membawa pembaharuan struktur yang nyata, daripada meningkatkan hasil pasaran buruh, menaikkan pendapatan isi rumah, mengukuhkan kemampanan fiskal hinggalah mempertingkat keberkesanan penyampaian kerajaan.
Menteri Kewangan II
Strategi itu bersifat menaikkan 'lantai dan siling' ekonomi memastikan semua rakyat mempunyai akses kepada gaji yang wajar, perlindungan sosial serta perkhidmatan awam berkualiti, sambil mengangkat daya saing negara, menarik pelaburan berkualiti tinggi dan memacu inovasi.
Menteri Kewangan II
Filantropi perlu berlandaskan keperluan sebenar komuniti iaitu apa yang mereka perlukan, impikan dan mampu bina, bukannya bersifat mengambil atau memaksa.
katanya ketika berucap pada Forum Hasanah 2025 bertemakan 'Philanthropy That Listens, Bridging Intent With Interventions' di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Yayasan Hasanah, Tan Sri Md Nor Yusof; Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd (Khazanah), Datuk Amirul Feisal Wan Zahir dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan, Datuk Johan Mahmood Merican.
Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata, usaha memartabatkan negara tidak akan berjaya tanpa kerjasama rapat antara kerajaan, industri swasta, sektor filantropi dan masyarakat sivil yang berperanan mengisi jurang yang tidak mampu dicapai pasaran.
Beliau berkata, Malaysia melalui Ekonomi MADANI membayangkan negara di mana tiada rakyat yang ketinggalan, perkhidmatan sosial sampai ke golongan terpinggir dan alam sekitar dipelihara untuk generasi akan datang.
Menteri Kewangan II
Filantropi yang mendengar adalah kunci untuk mencapai visi ini dengan lebih cepat dan mampan.
ucapnya sambil menekankan kepentingan Yayasan Hasanah sebagai penggerak utama agenda berkenaan.
Sebagai yayasan amanah Khazanah, Yayasan Hasanah yang ditubuhkan pada 2015 sudah menyalurkan ratusan juta ringgit untuk program pendidikan, kelestarian alam sekitar, pembangunan komuniti, seni, budaya serta kesejahteraan masyarakat.
Antara inisiatifnya termasuk Program Pendidikan Komuniti di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak, projek pemulihan hutan di Perak, serta bantuan kemanusiaan pasca bencana melalui kerjasama dengan rangkaian korporat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Pada Forum Hasanah, kerajaan turut mengiktiraf Yayasan Hasanah bersama empat lagi yayasan iaitu Yayasan Sime Darby, Yayasan Axiata, Yayasan Maybank dan Yayasan UEM, sebagai rakan strategik kerajaan dalam memperluas impak sosial negara.
Beliau memberi contoh kejayaan program Sustainable Livelihood oleh Yayasan Axiata yang menyokong usahawan wanita di Sabah, dan Women Eco-Weavers Yayasan Maybank yang memperkasa penenun tradisional Iban di Sarawak.
Menteri Kewangan II
Projek ini membuktikan bahawa sokongan yang dibina atas kepercayaan, maruah dan saling menghormati boleh memajukan komuniti tanpa mengorbankan keunikan mereka.
Sementara itu Forum Hasanah 2025 yang memasuki edisi ketiga menghimpunkan pemimpin industri, pembuat dasar, NGO dan wakil komuniti bagi membincangkan strategi memperkukuh peranan filantropi dalam membina Malaysia yang lebih adil, inklusif dan mampan.